Tajuk Utama
- Lebih 40,000 warga Malaysia datang ke Australia sebagai pelawat namun terus cuba menetap di negara ini.
- Sebilangan besar mendakwa diri terancam di Malaysia dan memohon perlindungan di Australia.
- Hampir kesemua pemohon perlindungan ditolak dan kini lebih 20,000 warga Malaysia menunggu giliran merayu di Tribunal Pentadbiran Rayuan
Kini terdapat lebih 40,000 warga Malaysia yang berada di Australia untuk cuba memulakan hidup baru. Hampir kesemua datang ke Australia menggunakan visa pelawat yang mudah diperolehi oleh pemegang pasport Malaysia secara online melalui Electronic Travel Authority yang diberi oleh kerajaan Australia kepada rakyat Malaysia.
Setibanya mereka di Australia, golongan warga Malaysia ini perpecah menuju ke kawasan-kawasan perladangan untuk mencari kerja di ladang buah-buahan, sayuran atau di kilang pemprosesan makanan.
Bagi membolehkan mereka bekerja di Australia, hampir kesemua memohon perlindungan di negara ini untuk mendapatkan visa perantaraan atau bridging visa yang secara automatik diberi kepada pemohon sementara mengunggu keputusan permohonan perlindungan mereka.
Malangnya, pemegang visa sementara ini tidak layak menerima bantuan kebajikan atau kemudahan perubatan sepenuhnya yang disediakan oleh kerajaan Australia untuk kemudahan rakyat dan penduduk tetapnya. Dan seringkali, warga Melayu ini menghadapi pelbagai masalah dan kesusahan, umpamanya ditipu oleh pihak kontraktor atau majikan dan ketegangan rumahtangga yang kadangkala mencetuskan penderaan domestik.
Mujurlah wujud pertubuhan sukarelawan yang menawarkan bantuan kepada golongan warga melayu yang memerlukan bantuan seperti Yayasan An Nur yang diketuai oleh pengasasnya, Pn Nora Simkin.
Ikuti wawancara SBS Melayu dengan Presiden Yayasan An Nur.
Jika anda ingin menghubungi Yayasan An Nur, sila layari laman facebook Yayasan An Nur atau telefon 04 0519 2908.