Key Points
- Lokasi: Copas Park, Noble Park, Victoria
- Setiap Juma'at, Sabtu dan Ahad sepanjang bulan Ramadan
- Tarikh Penutup: Ahad, 30 Mac, 2025
- Waktu Perniagaan: 3.00 ptg hingga Iftar
Di Malaysia, bazaar Ramadan muncul di setiap pelusuk tanahair setiap bulan puasa dan setiap tahun, saiz bazaar semakin besar dan kepelbagaian juadah yang ditawarkan kepada pengunjung semakin bertambah.
Bagi sebilangan umat Islam, aspek komersil yang keterlaluan ini seolah-olah mengundang pengunjung untuk bersikap tamak, seringkali membeli juadah yang terlalu banyak melebihi apa yang sebenarnya diperlukan.
Seringkali, makanan yang tidak habis dibuang begitu sahaja.
Kebelakangan ini, ramai yang mengganggap sifat keterlaluan serta pembaziran makanan ini bercanggah dengan matlamat umat Islam menjalankan ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan yang mulia.
Namun, bagi warga Malaysia yang merantau, khususnya umat Islam, bazaar Ramadan memberi peluang untuk komuniti kecil yang jauh dari tanahair berkumpul, berceloteh sambil membuka jalan kepada rakan perantau mencari sedikit rezeki menjual juadah untuk berbuka.
Di Victoria, mujurlah ada tiga warga Malaysia bertungkus lumus menjayakan bazaar Ramadan di subbandar Noble Park, lebih kurang 30 kilometer dari pusat bandar Melbourne.
Mohd Kamal Ismail, Solsila Abu Samah dan Zahari Afendi sanggup mengharungi kerumitan memohon permit dan lesen yang dikawal ketat oleh majlis perbandaran tempatan serta bertahan dengan keletihan merancang, menganjur dan memantau setiap gerai supaya segala syarat-syarat permit dipatuhi.
Bagi tiga warga Melayu ini, segala cabaran yang dihadapi berbaloi asalkan matlamat menyatu-padukan komuniti serta memberi peluang kepada warga Malaysia mencari rezeki halal tercapai.