Kesyukuran Berpeluang Meneruskan Kehidupan Di Australia

Majlis kesyukuran Md Kamal dan Solsila berpeluang untuk terus menetap di Australia

Majlis kesyukuran Md Kamal dan Solsila berpeluang untuk terus menetap di Australia

Bayangkan selama lapan tahun membina kehidupan di Australia dalam keadaan tidak menentu menanti masa kemungkinan terpaksa tinggalkan segala-galanya untuk pulang ke tanahair. Inilah nasib yang dihadapi lebih 33,000 warga Malaysia yang kini berada di negara ini. Namun, segelintir daripada bilangan ini bernasib baik diberi kelayakan untuk terus menetap di sini. Zaini Ahmad berpeluang menemubual sepasangan suami isteri yang kini bersyukur dapat terus berada Downunder.


Sejak tiba di Australia, pasangan suami-isteri, Md Kamal Ismail dan Solsila Abu Samah berjaya membuka sebuah restoran tumpuan warga Malaysia yang bukan setakat datang untuk menikmati sajian masakan Melayu yang dihidangkan.

Ramai di kalangan pelanggan mengunjung restoran ini untuk berceloteh dan bergurau-senda dengan pasangan suami isteri yang lebih mesra dikenali sebagai Pak Teh dan Sheila.

Mereka merindui kampung halaman dan peluang bergurau dengan Pak Teh dan Sheila sambil membeli lauk pauk sedikit sebanyak meringankan bebanan hidup, walaupun hanya buat seketika sahaja.

Malahan, ramai di kalangan warga Melayu muda menggelar pasangan ini sebagai bonda dan abah.

Setelah lapan tahun menunggu, Pak Teh dan Sheila berjaya dalam rayuan mereka untuk terus menetap di Australia setelah Tribunal Pentadbiran Rayuan yakin akan kesahihan alasan mereka.

Kini, restoran yang sentiasa dikunjungi pelanggan mampu dikekalkan dan pasangan ini juga bebas membuat perancangan lain bagi mempertingkatkan lagi kehidupan mereka di Australia.

Sebagai tanda kesyukuran, Pak Teh dan Sheila menganjurkan sebuah majlis untuk warga Malaysia yang begitu meriah sekali. SBS Bahasa Melayu turut dijemput.


Share